skip to main |
skip to sidebar
- Daripada
Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang
hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah (
kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya)
kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah
daripada sakit matanya pada bulan ini.
- Kelebihan bulan Ramadan
dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan,
sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan darjah tertinggi
bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar dengan
dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping sembahyangnya
yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.
- Berkata Saidina Ali, Nabi
(s.a.w) telah bersabda apabila engkau melihat sehari bulan maka bacalah
olehmu "AllahuAkbar" 3 kali, kemudian bacalah :
(Segala kepujian bagi Allah yang telah
menjadikan aku dan telah menjadikan engkau, dan telah menentukan bagi
engkau pangkat-pangkat (darjah) dan telah menjadikan engkau tanda
(kekuasaan) bagi sekalian alam) nescaya bermegah Allah akan Dia dengan
malaikat dan firmanNya: Hai malaikat! saksikanlah kamu, bahwa Aku telah
merdekakan daripada api neraka, atau dibacakan :
(Ya
Allah, zahirlah Ramadan atas kami dengan keamanan dan keimanan dan
dengan keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhan engkau Allah.)
- Bersabda
Nabi (s.a.w) : Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari
setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan
Ramadan bertiup angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu
lemah-longlainya di dalam syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu,
hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya
menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya
lalu berdirilah di atas puncak mercu syurga itu. Lantas bersuaralah
bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah, kata
bidadari pula: Apakah malam ini namanya? jawab Malek Ridwan (malaikat),
Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan, Lalu Allah
berfirman: Hai Ramadan bukalah pintu syurga Bab AlJanan untuk
orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad (s.a.w). Hai Malek
Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad (s.a.w),
hai Jibrail belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya
tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah
pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali : Adakah orang yang meminta
ampun? Akan Aku ampunkan!
- Pada malam Lailatul Qadar
menyuruh Allah Ta'ala akan Jibrail Alaihisalam turun ke bumi, lalu
turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya
bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya 600 sayapnya ,
setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam Lailatul Qadar
baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke barat (
Musyriq Ke Maghrib ). Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu memberi
salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar beribadah
kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk beribadah,
orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesama mereka
mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga terbit fajar
subuh....... berkata para malaikat kepada Jibrail , apakah Allah berikan
pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w) pada bulan Ramadan
ini? Berkata Jibrail bahawasanya Allah menilik kepada umat Muhammad
yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka, diampunkan
dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya:
yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibubapanya,
orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan
saudaranya lebih dari 3 hari.
- Apabila pada malam akhir
Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam hari raya Aidilfitri
didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri turunlah mereka ke
bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang kuat, semua
mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata mereka, hai umat Muhammad
keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat mulia (sembahyang raya di pagi
raya) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun akan
dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah umat Muhammad ke tempat
sembahyang, firman Allah kepada maliakat : Hai malaikatKu, apakah
balasan orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab
malaikat , hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya! Firman Allah bahawa
Aku saksikan kamu hai malaikatku, telah aku jadikan pahala mereka dari
puasa mereka pada bulan Ramadan mereka mendirikan sembahyang, ialah
keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka! Maka firmannya lagi : Hai
segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka demi ketinggianku dan
kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak sesuatu bagi agamamu
dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu! (Al-Hadith).
- Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
- a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
- b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
- c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
- d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10
hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas
kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
- e) Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)
- Sabda Nabi (s.a.w) :
Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu, dan amal fardhu
diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar (sabar
dalam berbuat taat kepadaNya.), dan sabar itu adalah syurga balasannya
bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang mukmin, diampunkan
baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada orang berpuasa
pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya, berkata
sahabat : Bagaimana kami tak sanggup memberi makan orang yang berpuasa
(berbuka puasa) ya Rasullullah - Allah memberi pahala ini kepada orang
yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma atau segelas air, barang
siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya, diminumkan
Tuhan dari kolam Hudh sejenis minuman yang tiada dahaga lagi kemudiannya
hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa.
(Al-Hadith)
- Puasa menurut segala yang
disuruh dan menjauh segala pantang larangannya, diampunkan dosanya, dan
bertasbih, bertahlil dibinakan rumah indah dalam syurga.
- Barang siapa hadir ke
dalam majlis zikir pada bulan Ramadan, ditulis tiap langkahnya ibadat
setahun, dan pada hari Qiamat bersamaku di bawah Arasy. Siapa tetap
berjemaah dalam bulan puasa didirikan kota bercahaya indah, cemerlangnya
, dan yang berbakti kepada ibubapanya Allah memandang rahmat kepadanya,
dan isteri yang berbuat sesuatu mencari keredaan suaminya, maka pahala
yang besar Allah kurniakan kepadanya , seperti Siti Maryam dan siapa
yang menyampaikan hajat orang mukmin, Allah menunaikan seribu hajatnya,
dan siapa bersedekah kepada fakir miskin (yang ada anak isteri) tiap
langkah dikurniakan kepadanya seribu kebajikan, dihapuskan seribu
kejahatan dan diangkatkan seribu darjat baginya. (Al-Hadith).
- Orang yang sembahyang
bulan Ramadan tiap sekali sujud, dikurniakan kepadanya 1700 kebajikan,
dan dibinakan rumah didalam syurga daripada permata bagi orang yang
berpuasa dan beribadat, 75000 malaikat meminta ampun baginya dari pagi
hingga tenggelam matahari, dan dibina sebuah mahligai baginya .
(Al-Hadith)
- Pada hari Qiamat, Allah
memerintah Malek Ridwan supaya dikeluarkan orang-orang berpuasa daripada
kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga, lalu disuruh Malek Ridwan
berikan segala keinginan mereka dari segala macam makanan dan minuman
syurga. Maka Malek Ridwan memerintah kepada anak-anak membawa
talam-talam makanan , minuman dan buah-buahan. Sebagai balasan berlapar
di bulan Ramadan. (A-Hadith)
- Orang mukmin yang tidur
dalam bulan puasa kerana puasa Ramadan, dia membalikkan badannya sambil
meyebut Allah! maka kata malaikat kepadanya : Rahimakallah (Allah
Mencucuri Rahmat kepada kamu.)
- - Apabila dia berdiri maka berdoalah hamparannya : (Wahai
Tuhanku, kurniakanlah kepadanya hamparan permaidani tebal kepadanya di
dalam syurga)
- - Apabila memakai pakaian , berdoalah pakaian (Wahai Tuhanku, kurniakan kepadanya pakaian syurga)
- - Apabila memakai kasut, berdoalah kasut (Wahai Tuhanku, tetapkanlah atas titian Siratul Mustaqim!)
- - Apabila memegang timba berdoalah pula timba : (Wahai Tuhanku kurniakan kepadanya gelas syurga!)
- - Apabila mengambil air sembahyang , berdoalah air itu : (Wahai Tuhanku sucikannya daripada segala dosa dan kesalahan!)
- - Apabila berdiri sembahyang , berdoalah rumahnya: (
Wahai Tuhanku cahayakanlah kuburnya dan luaskanlah , lapangkanlah
kuburnya!)
- Serta menilik Allah kepadanya , maksudnya : HambaKu berdoa dan Aku menerima! (Al-Hadith)
- Malaikat yang banyak
muka bersujud kepada Allah pada hari Qiamat, satu muka sujud , satu muka
melihat syurga, satu muka melihat neraka, satu muka melihat Arasy ,
lalu berkata malaikat itu : Wahai Tuhanku , ampunlah umat Muhammad,
kasihanilah mereka! janganlah disiksa orang yang berpuasa Ramadan dari
umat Muhammad! (Al-Hadith)
- Keredaan Allah (bagi orang yang taat)
- Keampuan Allah (bagi orang yang maksiat)
- Jaminan Allah (bagi orang yang taat)
- Kejinakan Allah (bagi orang yang tawakkal)
- Anugerah Allah (bagi orang yang benar).
- Ramadan, Ramada, ertinya : membakar - yakni menghapuskan dosa dosa orang yang berpuasa dan beribadat bulan Ramadan.
- Ramadan ertinya bulan mendapatkan keredhaan Allah dan keampunan bagi
hambaNya. Orang yang mendapat keredhaan dan keampunan Allah bererti
memberi jaminan (kerana ibadatnya pada bulan mulia dengan penuh taat)
mendapat syurga anugerah Allah bagi hambaNya yang benar benar melakukan
ibadat kerana Nya pada bulan Ramadan termulia ini dengan ganjaran pahala
sehingga seribu kali ganda dan keampunan yang banyak sekali,
teristimewa pada malam Lailatul Qadar.
- "Bahawa di dalam syurga terdapat bilik bilik, dilihat dari luar
nampak di dalamnya dan dilihat dari dalam kelihatan di luarnya, berkata
sahabat : untuk siapakah ya Rasulullah? Lantas Baginda menjawab : Ialah
bagi orang yang baik percakapannya, bagi orang yang memberi makan
makanan, bagi orang yang sentiasa berpuasa, bagi orang yang sembahyang
di tengah malam sedang manusia banyak tidur." (Al Hadith)
- "Semulia mulia sedeqah ialah sedeqah pada bulan Ramadhan." (Al Hadith)
- "Puasa itu perisai dan sedeqah itu memadam kesalahan dosa sepertimana air memadamkan api." (Al Hadith)
- "Siapa memberi makan ( berbuka puasa) kepada orang puasa makan
baginya seumpama balasan pahala orang yang berpuasa dengan tidak kurang
sedikitpun ." (Al Hadith)
- Sabda Nabi (s.a.w) :
Tiada daripada seorang hamba berpuasa Ramadan, diam tiada berkata yang
sia sia dan daripada yang haram dan yang makruh, dan sentiasa menyebut
Allah (berzikrullah), menghalalkan yang dihalalkan Allah, mengharamkan
akan yang diharamkan Allah, tiada mengerjakan kejahatan, melainkan
sehingga berakhir Ramadan, telah diampunkan baginya segala dosanya, dan
tiap tasbih, tiap tahlil, dibinakan sebuah rumah yang terindah di dalam
syurga daripada permata zamrud, di dalamnya daripada yaqut merah indah,
di dalam rangka permata itu (yaqut) terdapat sebuah khemah, di dalamnya
terdapat bidadari ( hurul ain isteri syurga). Terhias dengan permata
bercahaya indah yang menerangkan bumi seluruhnya.(Al Hadith)
- Sabda Nabi (s.a.w) :
Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya, dijadikan mereka supaya
menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta tolong kepada
Nya, pada menyempurnakan segala hajat yang diperlukan, mereka itulah
orang yang aman daripada siksa Allah (Riwayat At Tibrani) (Al-Hadith)
- Sabda Nabi (s.a.w) :
Bahawa pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal Ramadan hingga
akhir malam Ramadan, tiap orang yang bersembahyang pada malamnya
dituliskan baginya tiap satu sujud 1700 kebajikan, dibina rumah baginya
di dalam syurga daripada yaqut merah indah, baginya 70 pintu daripada
emas yang bertatah yaqut permata yang merah, orang yang berpuasa pada
awal Ramadan diampunkan segala dosanya hingga ke akhir bulan Ramadan,
dibinakan baginya tiap tiap hari sebuah mahligai di dalam syurga,
mempunya 1000 pintu daripa emas, dan meminta ampun baginya 70 000
malaikat dari pagi hingga tenggelam matahari (Al Hadith)
- Sabda Nabi (s.a.w) :
Kelebihan hari Jumaat pada bulan Ramadan atas segala hari yang lainnya
seperti kelebihan Ramadan atas segala bulan (Al Hadith)
- Barangsiapa mengerjakan
ibadat pada bulan Ramadan dengan keimanannya dan ikhlasnya kerana Allah,
maka di ampunkan segala dosanya yang telah lalu (Al Hadith)
- Sabda Nabi (s.a.w) : Tidur
orang yang berpuasa itu adalah ibadat, dan nafasnya itu adalah tasbih,
doanya itu mustajab, dosanya diampunkan Allah, dan amal ibadatnya
dilipatgandakan . (Al Hadith)
- Apabila berakhir bulan
Ramadan, menangis wali-wali Allah kerana terpisahnya bulan yang paling
mulia yang digandakan ibadat berlipatkali ganda daripada bulan bulan
yang lainnya, bulan Allah mudah menerima ampun taubat hambaNya, bulan
yang banyak sekali diturun rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya
malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada
hamba hamba Nya yang salihin, yang tidak terdapat pada bulan bulan yang
lainnya. Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan
termulia ini pada tahun tahun hadapan, kiranya dipanjangkan umur.
- Apabila berakhirlah malam
bulan Ramadan, menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi,
dan segala malaikat, jerana berlalu Ramadan berlalulah kelebihan, sebab
musibah bagi umatku, dan duduk segala malaikat bagi musibah, orang
bertanya : Ya Rasullullah, apa itu musibah ? Jawab rasullullah (s.a.w), Kerana segala doa padaNya itu mustajab, sedakah makbul, segala kebajikan digandakan dan siksa kubur diangkat, maka apakah musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatku?! (Al-Hadith)
- Malam Lailatul Qadar
adalah malam rahsia, yang turunnya padanya malaikat Jibrail dan beberapa
malaikat dengan perintah Allah. Orang yang berjaga dengan malam
ibadatnya untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar yang terahsia itu yang
tidak diketahui oleh manusia, hanya orang-orang solihin yang hampir,
orang berusaha mendapatkan malam mulia itu dengan berjaga malam pada
sepuloh malam Ramadan yang terakhir maka diampunkan tuhan segala
dosanya. Di pahalakannya dengan banyak , dirahmatkannya dengan limpah
kurnia. Dan orang-orang solihin yang dikurniakan Allah mendapat malam
Lailatul Qadar itu satu keberuntungan kebahagiaan bagi akhirat, mendapat
keampunan dan rahmat terbesar, mendapat pimpinan Allah dalam hatinya,
mendapat keredaan Allah dalam hidupnya dunia dan akhirat.
- Malam Aidilfitri, malam
raya, disunatkan kepada kita berjaga malam, beribadah, bertakbir
"AllahuAkbar" sepanjang malamnya. Akan mendapat keampunan yang banyak,
pahala yang besar, rahmat Allah tercurah kepadanya. Siapa yang
menghidupkan dua malam raya (AidilFitri & AidilAdha) dengan
ibadatnya dan takbirnya , tiada dimatikan hatinya pada hari yang
dimatikan segala hati. (Al-Hadith).
0 comments:
Post a Comment