Monday, July 06, 2015

Sifat Terpuji Rasulullah.


Sifat Terpuji Rasulullah.



Kisah hidup Rasulullah SAW yang menunjukkan betapa tingginya sifat kasih sayang baginda.

1. Pernah seorang Arab Badwi menarik dengan begitu kasar jubah buatan Najran yang kasar kainnya, yang dipakai oleh Rasulullah SAW hingga berbekas leher baginda. Tetapi Rasulullah SAW tidak marah, malah menghadiahkan jubah itu kepada Arab Badwi tersebut.

2. Seorang wanita tua selalu menyakiti Rasulullah SAW dengan meletakkan duri, najis dan lain-lain halangan di jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah SAW. Namun Rasulullah SAW tidak bertindak balas. Pada satu ketika apabila wanita itu sakit, Rasulullah SAW menziarahi dan menunjukkan kasih sayang terhadapnya. Wanita tua itu terharu dengan kebaikan Rasulullah, lantas memeluk Islam di tangan baginda.

3. Rasulullah SAW pernah dilihat oleh para Sahabatnya mencium anak kecil, lantas seorang Sahabat menegurnya, “Engkau mencium anak kecil, ya Rasulullah?” Kerana pada sangkaannya Rasulullah tidak pernah mencium anak kecil. Baginda mengiyakan lantas bersabda, “Barang siapa tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.”

4. Rasulullah SAW sangat mengasihi Sahabat-sahabatnya. Jika seorang Sahabat sudah dua tiga hari tidak kelihatan, baginda akan bertanya, “Ke mana perginya si polan si polan itu…”

5. Jika ada orang yang meminta tolong pada Rasulullah SAW, tidak pernah baginda tidak menunaikannya. Baginda sangat prihatin dan amat mengambil berat kesusahan orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menunaikan satu hajat saudaranya, akan ALLAH tunai 70 hajatnya.”

6. Pernah satu ketika seorang Arab Badwi kencing di satu sudut dalam Masjid Nabi. Ada di antara para Sahabat marah kerana sikap tidak beradab itu. Tetapi Rasulullah SAW tetap tenang dan berkata, “Biarkan dia menyelesaikan hajatnya…” Setelah lelaki tersebut selesai, Rasulullah SAW sendiri membasuh najis itu dan kemudiannya barulah memberitahu Arab Badwi tersebut adab-adab di dalam masjid.

7. Ketika Rasulullah SAW berdakwah dengan anak angkatnya Zaid bin Harisah di Thaif, baginda telah dibaling dengan batu oleh kanak-kanak dan pemuda-pemuda nakal yang disuruh berbuat begitu oleh penduduk kota tersebut. Akibatnya, lutut Rasululah SAW telah berdarah. Melihat penganiayaan itu, malaikat sangat marah sehingga menawarkan untuk menghempap penduduk Thaif dengan bukit-bukit sekitar bandar itu. Tetapi Rasulullah SAW menolaknya dan berkata, “Jangan, mereka tidak tahu saya ini rasul-Nya.” Malaikat menjawab: “Tuan benar.” Selepas itu baginda terus berdoa untuk penduduk Thaif: “Ya ALLAH berilah petunjuk bagi kaumku, mereka tidak mengetahui.”

8. Pernah seorang Sahabat duduk secara menghimpit paha atas paha dengan Rasulullah SAW. Baginda membiarkannya sahaja untuk menjaga hati Sahabat tersebut supaya tidak menganggap yang Rasulullah SAW tidak sudi duduk bersamanya.

9. Sewaktu hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW telah dikejar dengan kuda oleh seorang bernama Suraqah yang bercita-cita merebut hadiah yang ditawarkan oleh kafir Quraisy Makkah jika berjaya membunuh Rasulullah SAW. Setiap kali kuda Suraqah mendekati Rasulullah SAW, setiap kali itulah kudanya tersungkur jatuh. Rasulullah SAW tidak bertindak apa-apa. Rasulullah memaafkannya. Akhirnya Suraqah menyerah dan berjanji tidak akan cuba membunuh Rasulullah SAW lagi.

10. Satu ketika seorang musuh bernama Da`thur mendapati Rasulullah SAW sedang berehat di satu batu. Dia terus melompat dan meletakkan pedangnya di leher Rasulullah SAW dan berkata, “Siapa yang akan menyelamatkan nyawa kamu dan tanganku?”

Rasulullah SAW spontan menjawab, “ALLAH!”

Mendengar jawapan Rasulullah itu, Da`thur menggeletar hingga pedangnya jatuh daripada tangan.

Rasulullah SAW mengambil pedang itu dan bertanya, “Kali ini siapa yang akan menyelamatkan kamu dari tanganku?”

Da`thur tergamam dan menjawab, “Tiada siapa.”

Akhirnya Rasulullah SAW memaafkan Da`thur. Melihat kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu, Da`thur pun mengucap dua kalimah syahadah (masuk Islam).

11. Rasulullah SAW sangat penyayang dengan anak-anaknya dan bertimbangrasa dengan isteri-isterinya. Pada kesilapan isteri-isterinya, baginda selalu memberi maaf. Baginda juga membantu kerja-kerja rumah dan menampung jubah dan kasutnya sendiri.

12. Rasulullah SAW selalu berjalan dengan fakir miskin dan sering menziarahi janda-janda, bertanya akan keperluan hidup mereka. Bahkan dengan orang-orang miskin dan melarat, baginda selalu duduk bersama mereka, berbual, makan minum dan bermesra dengan mereka.

13. Pernah di satu pagi Hari Raya, Rasulullah SAW bertemu seorang kanak-kanak yang menangis di tepi jalan. Baginda terharu dan bertanya, “Mengapa engkau menangis?” Kanak-kanak tersebut menjawab, “Ayah saya telah mati syahid sementara ibu saya sudah berkahwin lain. Nasib saya terbiar dan saya tidak ada baju barn dan lain-lain persediaan untuk berhari raya.” Rasulullah SAW mengalirkan air mata mengenangkan nasib kanak-kanak tersebut. Baginda berkata: “Sukakah kamu kalau aku menjadi ayahmu dan Aisyah (isteri Rasulullah) menjadi ibumu?” Sungguh tidak terkira gembiranya rasa hati kanak-kanak itu, bila mendengar Rasulullah SAW yang mulia menjadi ayahnya. Baginda pun membawa pulang kanak-kanak tersebut ke rumahnya. Kanak-kanak itu dimandikan, dipakaikan dengan baju raya dan dijamu makan. Betapa gembiranya hati kanak-kanak itu, begitulah gembiranya hati Rasulullah SAW kerana dapat menggembirakannya.

14. Pada ketika yang lain, dalam perjalanan menuju ke pasar, Rasulullah SAW melihat seorang budak (hamba sahaya) sedang menangis di tepi jalan. Bila baginda tanyakan mengapa menangis, budak itu menjawab bahawa dia menangis kerana duit yang diberi oleh tuannya telah hilang. Rasulullah SAW terus mengganti duit yang hilang itu dengan duit baginda sendiri. Tetapi apabila baginda balik dari pasar, dilihatnya budak yang sama masih menangis. “Kenapa kamu masih menangis?” tanya Rasulullah SAW. “Kali ini saya menangis kerana takut dimarahi dan dipukul oleh tuan saya kerana saya sudah terlambat pulang dan pasar,” jawab budak itu.

Untuk mengelakkan budak itu daripada dimarahi, Rasulullah SAW sendiri menemaninya pulang. Rupanya rumah itu dihuni oleh sekumpulan wanita. Rasulullah SAW terus memberi salam. Setelah tiga kali memberi salam, barulah salam Rasulullah SAW itu dijawab. Rasulullah SAW bertanya, “Apakah kamu tidak dengar salam saya sebelumnya?” Wanita-wanita itu menjawab, “Kami dengar, tetapi sengaja kami tidak jawab supaya kami mendapat doa daripada Rasulullah SAW banyak kali…”

Rasulullah SAW terus menerangkan mengapa budak itu lambat. Baginda meminta supaya budak itu tidak dirotan, tetapi sekiranya mereka tidak puas hati, Rasulullah menawarkan dirinya sebagai ganti untuk dirotan. Lantas Rasulullah SAW menyingsing lengan bajunya. Mendengar kata Rasulullah SAW itu, kumpulan wanita itu lantas berkata, ” Tidak, ya Rasulullah. Mulai sekarang, kami merdekakanlah budak ini.” Itulah kesan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

16. Rasulullah SAW berjiran dengan seorang Yahudi. Baginda sangat menjaga hak-hak jiran. Baginda tidak pernah melakukan sesuatu yang menyakiti hati jirannya malah baginda selalu menghadiahkan makanan dan lain-lain hadiah kepada jiran Yahudinya itu.

17. Rasulullah SAW juga sangat mengambil berat tentang hak-hak kafir zimmi. Baginda bersabda: “Siapa yang menzalimi kafir zimmi walaupun orang Islam sayalah pembelanya (penebusnya).”

18. Rasulullah SAW juga sangat mengasihi binatang. Baginda melarang kanak-kanak menyeksa binatang. Untuk menyembelih binatang, Rasulullah SAW berpesan supaya menggunakan pisau yang tajam, agar binatang tersebutcepat mati dan tidak lama dalam kesakitan. Rasulullah SAW sering mengingatkan supaya unta-unta dan himar tidak dibebani oleh muatan yang berlebihan daripada apa yang sanggup ditanggung. Pernah seekor kucing tidur atas serban Rasulullah SAW. Maka baginda menggunting bahagian tempat kucing itu tidur di atasnya kerana tidak mahu mengejutkan kucing tersebut. Ketika dalam perjalanan dan Madinah ke Makkah di tahun kemenangan, Rasulullah melihat seekor anjing di tepi jalan. Anjing itu mengeluarkan suara seakan-akan membujuk anaknya yang sedang mengerumuninya untuk menyusu. Maka Rasulullah meminta seorang Sahabat untuk menjaga jangan sampai ada dan kalangan anggota rombongan baginda yang mengganggu anjing itu dan anak-anaknya. Ketika Rasulullah melihat seekor himar yang telah diberi tanda dengan besi panas di mukanya, baginda menentangnya dan melarang haiwan diberi tanda dan dipukul di mukanya.

19. Ketika Rasulullah meninggalkan kabilah Saqif, ada seorang lelaki yang memohon kepada beliau, “Wahai Rasulullah, berdoalah untuk kebinasaan mereka.” Rasulullah berkata, “Ya ALLAH, berilah petunjuk kepada kabilah Saqif dan bawalah mereka (ke jalan yang benar).”

20. Satu ketika Abu Zar keluar bersama hamba sahayanya yang berpakaian seperti apa yang beliau pakai, lalu ada orang bertanya, “Mengapa kamu berbuat demikian?” Abu Zar menjawab, beliau mendengar Rasulullah berkata: “Hamba sahaya itu adalah saudaramu, mereka di jadikan oleh ALLAH di bawah kekuasaanmu. Maka barangsiapa saudaranya di bawah kekuasaannya (di bawah jagaannya), hendaklah dia memberi makan dengan apa yang dia makan dan memberi pakaian dengan pakaian yang is pakai, dan janganlah hamba itu disuruh melakukan pekerjaan di luar batas kemampuannya. Apabila mereka diperintahkan bekerja maka bantulah mereka.”

INILAH sebahagian daripada cerita-cerita sebagai bukti betapa pengasih dan pemaafnya Rasulullah SAW, model agung kecintaan yang paling unggul dan patut dicontohi oleh manusia sepanjang zaman. Cerita-cerita itu menunjukkan betapa kasih dan sayangnya Rasulullah SAW sama ada kepada manusia atau bintang, yang sepatutnya dicontohi oleh umat Islam.


Romantiknya Rasulullah (Bhgn 1)

Gambar sekadar hiasan
Saiditina Aishah r.a dan Rasulullah s.a.w menggunakan panggilan nama sendiri antara satu sama lain yang melambangkan cinta mereka. Dia (Aishah) bertanya kepada Rasulullah bagaimana Baginda menggambarkan cinta untuknya. Rasulullah seraya menjawab:

"Seperti simpulan yang mengikat dengan kukuh"

Lebih banyak kita meruntun simpulan, semakin kuat lah ikatan itu.

Sesekali Saidatina Aisyah r.a akan bertanya manja,

"Bagaimana dengan ikatan itu? Ya Rasullah"

 Rasulullah s.a.w menjawab,

 "Ia sentiasa kukuh seperti hari kau bertanya Ya Aishah ♥"

Rasulullah Meminang Aisyah



Setelah Rasulullah memberi kebenaran kepadanya untuk meminang Aisyah, maka Haulah dengan perasaan gembira terus menuju ke rumah Abu Bakar, lalu bertemu dengan, Ummu Ruman isterinya Abu Bakar.

“Tahukah kamu ada kebaikan yang telah Allah kurniakan kepada keluargamu,” kata Haulah kepada ketika mereka berhadapan. Ummu Ruman yang tidak mengerti apa-apa lalu bertanya, “Apakah yang telah berlaku?”

“Percayalah bahawa Rasulullah kini menyebut nama anakmu, Aisyah,” kata Haulah lagi.

Ummu Ruman menjadi terkejut. Ada sesuatu sebenarnya yang di pendamkan dan tidak di ceritakan kepada Haulah.

Tidak berapa lama kemudian, Abu Bakar kembali. Dia menceritakan tujuan kedatangan Haulah tadi. Abu Bakar turut terkejut, lalu bertanya, “Apakah Aisyah itu sesuai untuknya sedangkan Aisyah itu anak saudaranya.” Haulah terdiam dan tidak dapat menjawabnya. Lalu dia menemui Nabi dan bertanyakan kemusykilan Abu Bakar.

“Benar, Abu Bakar itu saudaraku dan aku juga saudara baginya, tetapi anaknya itu sah untuk aku nikahi sebab dia bukan anak saudara kandung,” Nabi menjawab.

Haulah merasa puas mendengar jawapan tersebut lalu pulang bagi memberitahu Abu Bakar akan jawapan itu. Abu Bakar terdiam dan perasaannya bercampur baur. Seperti isterinya, dia turut menyimpan sesuatu perkara yang dipendamkannya dan perlu untuk dia selesaikan pada kadar yang segera.

Abu Bakar terus menuju kerumah Mu’tam bin Adiy yang ketika itu belum memeluk Islam. Sebenarnya Mu’tam pernah berhajat untuk meminang Aisyah bagi anak lelakinya. Abu Bakar merasakan dia telah terikat dengan janji kepada Mu’tam dan merasakan tidak adil jika dia sengaja menggugurkan janji tersebut tanpa pengetahuan pihak lelaki.

“Apakah pendapatmu tentang Aisyah?” tanya Abu Bakar sebaik sahaja dia tiba di rumah Mu’tam.

“Jika kami ingin mengahwinkan anak kami dengan Aisyah, kami khuatir jika dia perlu memeluk Islam,” jawab isteri Mu’tam. Ternyata mereka tidka mahu meninggalkan agama yang mereka anuti sekarang ini dan khuatir perlu memeluk Islam jika mahu meminang Aisyah.

Abu Bakar tidak menjawab kemuskilan isteri Mu’tam itu, lalu bertanya kepada Mu’tam. “Apakah pendapatmu, Mu’tam?”

Mu’tam memberi jawapan yang sama dengan isterinya. Atas keengganan itu, Abu Bakar merasakan yang dia sudah lepas dari perjanjiannya dengan Mu’tam. Selepas itu, Abu Bakar bersetuju dengan permintaan Nabi dan Nabi kemudia melamar Aisyah dan menjadi isterinya.


Rasulullah Dan Kucing Kesayangannya "Muezza"

Gambar sekadar hiasan
Suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W memiliki seekor kucing yang diberi nama Mueeza. Suatu saat, dikala Nabi hendak mengambil jubahnya, ditemuinya Mueeza sedang terlelap tidur dengan santai diatas jubahnya. Tak ingin mengganggu haiwan kesayangannya itu, Nabi pun memotong belahan lengan yang ditiduri Mueeza dari jubahnya. Ketika Nabi kembali ke rumah, Muezza terbangun dan merunduk sujud kepada majikannya. Sebagai balasan, Nabi menyatakan kasih sayangnya dengan mengelus lembut ke badan kucing itu sebanyak 3 kali. Setiap kali Nabi menerima tetamu di rumahnya, Nabi selalu mengendong Mueeza dan diletakkan dipahanya. Salah satu sifat Mueeza yang Nabi sukai ialah ia selalu mengeong ketika mendengar azan dan seolah-olah suaranya terdengar seperti mengikuti lantunan suara azan.


Rasulullah Dan Pengemis Buta

Gambar sekadar hiasan
“Wahai saudaraku! Jangan engkau dekati Muhammad itu. Dia orang gila. Dia pembohong. Dia tukang sihir. Jika engkau mendekatinya, engkau akan dipengaruhinya dan engkau akan menjadi seperti dia,” kata seorang pengemis buta Yahudi berulang-ulang kali di satu sudut pasar di Madinah pada setiap pagi sambil tangannya menadah meminta belas orang yang lalu-lalang.
Orang yang lalu-lalang di pasar itu ada yang menghulurkan sedekah kerana kasihan malah ada juga yang tidak mempedulikannya langsung.
Pada setiap pagi, kata-kata menghina Rasulullah SAW itu tidak lekang daripada mulutnya seolah-olah mengingatkan kepada orang ramai supaya jangan terpedaya dengan ajaran Rasulullah SAW. Seperti biasa juga, Rasulullah SAW ke pasar Madinah. Apabila baginda sampai, baginda terus mendapatkan pengemis buta Yahudi itu lalu menyuapkan makanan ke mulutnya dengan lembut dan bersopan tanpa berkata apa-apa.
Pengemis buta Yahudi yang tidak pernah bertanya siapakah yang menyuapkan itu begitu berselera sekali apabila ada orang yang baik hati memberi dan menyuapkan makanan ke mulutnya.
Perbuatan baginda itu dilakukannya setiap hari sehinggalah baginda wafat. Sejak kewafatan baginda, tidak ada sesiapa yang sudi menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu setiap pagi.
Pada satu pagi, Saidina Abu Bakar ra pergi ke rumah anaknya, Siti Aisyah yang juga merupakan isteri Rasulullah SAW untuk bertanyakan sesuatu kepadanya.
“Wahai anakku Aisyah, apakah kebiasaan yang Muhammad lakukan yang aku tidak lakukan?”, tanya Saidina Abu Bakar ra sebaik duduk di dalam rumah Aisyah.
“Ayahandaku, boleh dikatakan apa sahaja yang Rasulullah lakukan, ayahanda telah lakukan kecuali satu,” beritahu Aisyah sambil melayan ayahandanya dengan hidangan yang tersedia.
“Apakah dia wahai anakku, Aisyah?”
“Setiap pagi Rasulullah akan membawa makanan untuk seorang pengemis buta Yahudi di satu sudut di pasar Madinah dan menyuapkan makanan ke mulutnya. Sejak pemergian Rasulullah, sudah tentu tidak ada sesiapa lagi yang menyuapkan makanan kepada pengemis itu,” beritahu Aisyah kepada ayahandanya seolah-olah kasihan dengan nasib pengemis itu.
“Kalau begitu, ayahanda akan lakukan seperti apa yang Muhammad lakukan setiap pagi. Kamu sediakanlah makanan yang selalu dibawa oleh Muhammad untuk pengemis itu,” beritahu Saidina Abu Bakar ra kepada anaknya.
Pada keesokan harinya, Saidina Abu BAkar ra membawakan makanan yang sama seperti apa yang Rasulullah SAW bawakan untuk pengemis itu sebelum ini. Setelah puas mencari, akhirnya beliau bertemu juga dengan pengemis buta itu. Saidina Abu Bakar ra segera menghampiri dan terus menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu.
“Hei… Siapakah kamu? Berani kamu menyuapku?” Pengemis buta itu mengherdik Saidina Abu Bakar ra. Pengemis buta itu terasa lain benar perbuatan Saidina Abu Bakar ra itu seperti kebiasaan.
“Akulah orang yang selalu menyuapmu setiap pagi,” jawab Saidina Abu Bakar ra sambil memerhatikan wajah pengemis buta itu yang nampak marah.
“Bukan! Kamu bukan orang yang selalu menyuapku setiap pagi. Perbuatan orang itu terlalu lembut dan bersopan. Aku dapat merasakannya, dia terlebih dahulu akan menghaluskan makanan itu kemudian barulah menyuap ke mulutku. Tapi kali ini aku terasa sangat susah aku hendak menelannya,” balas pengemis buta itu lagi sambil menolak tangan Saidina Abu Bakar ra yang masih memegang makanan itu.
“Ya, aku mengaku. Aku bukan orang yang biasa menyuapmu setiap pagi. Aku adalah sahabatnya. Aku menggantikan tempatnya,” beritahu Saidina Abu Bakar ra sambil mengesat air matanya yang sedih.
“Tetapi ke manakah perginya orang itu dan siapakah dia?”, tanya pengemis buta itu.
“Dia ialah Muhammad Rasulullah. Dia telah kembali ke rahmatullah. Sebab itulah aku yang menggantikan tempatnya,” jelas Saidina Abu Bakar ra dengan harapan pengemis itu berpuas hati.
“Dia Muhammad Rasulullah?”, kata pengemis itu dengan suara yang terkedu.
“Mengapa kamu terkejut? Dia insan yang sangat mulia,” beritahu Saidina Abu Bakar ra. Tidak semena-mena pengemis itu menangis sepuas-puasnya. Setelah agak reda, barulah dia bersuara.
“Benarkah dia Muhammad Rasulullah?”, pengemis buta itu mengulangi pertanyaannya seolah-olah tidak percaya dengan berita yang baru didengarnya itu.
“Ya benar. Kamu tidak percaya?”
“Selama ini aku menghinanya, aku memfitnahnya tetapi dia sedikit pun tidak pernah memarahiku malah dia terus juga menyuap makanan ke mulutku dengan sopan dan lembut. Sekarang aku telah kehilangannya sebelum sempat memohon ampun kepadanya,” ujar pengemis itu sambil menangis teresak-esak.
“Dia memang insan yang sangat mulia. Kamu tidak akan berjumpa dengan manusia semulia itu selepas ini kerana dia telah pun meninggalkan kita,” beritahu Saidina Abu Bakar ra.
“Kalau begitu, aku mahu kamu menjadi saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah syahadah dan aku memohon keampunan Allah,” ujar pengemis buta itu.
Selepas peristiwa itu, pengemis itu telah memeluk Islam di hadapan Saidina Abu Bakar ra. Keperibadian Rasulullah SAW telah memikat jiwa pengemis itu untuk mengakui ke-Esaan Allah..

Rasulullah Dan Buah Limau

"Suatu ketika Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya.Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum.

Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu.

Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya."

Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan datangnya dari orang bukan Islam. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa kerana sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya ditewaskan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.



Sifat Dan Sikap Rasulullah Muhammad SAW


Bismillahirrahmanirrahim..

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia juga banyak menyebut dan memperingati Allah (dalam masa susah dan senang).” 
 (Surah al-Ahzab: Ayat 21)



Sifat-sifat dan sikap-sikap Nabi Muhammad s.aw. yang terpuji:

1. Tawadhuk
Dari Umar bin Khattab r.a. berkata: Rasulullah berpesan: “ Janganlah kamu semua melampaui batas semasa memujiku, sebagaimana orang nasrani melampaui batas memuji Isa bin Maryam. Aku hanyalah seorang hamba, oleh itu katakanlah aku adalah hamba Allah dan Rasul-Nya.” (HR Bukhari dan Tirmizi)

 Dari Amarah berkata: Seseorang bertanya kepada Aisyah: Apakah yang Rasulullah lakukan di rumah? Aisyah menjawab: Beliau sama seperti orang lain. Beliau menjahit pakaian, memerah susu kambing dan menyiapkan keperluan diri beliau sendiri. (HR Bukhari dan Tirmizi)

2. Lemah lembut
 Dari Aisyah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w mencium salah satu isterinya ketika beliau sedang berpuasa , kemudian dia (isterinya) tertawa". (HR. Muslim)

Ibn Asaakir meriwayatkan dari Aisyah ra. Bahwasanya Rasulullah sa..w berkata kepadanya: " Apakah engkau rela menjadi isteriku dunia akhirat? Beliau menjawab: ya aku rela. Lalu Rasulullah s.a.w. berkata: "engkau adalah isteri saya dunia dan akhirat." (Berkata Albany di silsilatus sahih: HR. Hakim).
Penyayang

 Aisyah r.a. berkata; Pada suatu hari, Nabi s.a.w menemui dan bertanya, “Apakah kamu mempunyai makanan?” kami menjawab, Tidak. Beliau bersabda: “Kalau begitu, saya akan berpuasa.” Kemudian beliau datang lagi pada hari yang lain dan kami berkata, Wahai Rasulullah, kita telah diberi hadiah berupa Hais (makanan yang terbuat dari kura, samin dan keju). Maka beliau pun bersabda: “Bawalah kemari, sungguhnya dari pagi tadi aku berpuasa,” maka beliau makan. (HR. Muslim)

3. Pemaaf
Dari Aisyah r.a berkta: Rasulullah bukan seorang yang bersifat keji dan tidak pernah bersikap keji. Beliau bukan seorang yang suka berteriak di pasar. Beliau tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, akam tetapi suka memaafkan. (HR. Tirmizi)

4. Jujur
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya jujur itu membawa kebaikan dan kebaikan itu membawa ke surga, sesungguhnya orang yang berkata benar maka orang tersebut dicatat sebagai orang yang paling jujur. Sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu mengantarkan ke neraka dan orang yang dusta maka akan ditulis di sisi Allah sebagai orang yang paling dusta.” (HR. Bukhari)

5.Sabar
Rasulullah SAW bersabda: “Sangat mengagumkan bagi seorang mukmin, sebab segala urusannya sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya.” (HR Muslim)

6.Percakapan Nabi s.a.w.
Asiyah r.a berkata: Rasulullah tidak pernah bercakap dengan laju seperti kamu semua. Beliau selalu bercakap dengan jelas dan terperinci, sehingga orang yang mendengar dapat menhafal apa yang mereka dengar. (HR. Tirmizi dan Abu Daud)

Dari Anas bin Malik bercerita: Rasulullah mengulangi percakapan beliau sehingga tiga kali supaya difahami (oleh mereka yang mendengar) (HR. Tirmizi dan Bukhari)

7. Bacaan Nabi s.a.w.
Ya’la bin Mamlak melaporkan, dia bertanya kepada Ummu Salamah mengenai cara Rasulullah membaca Quran. Ummu Salamah menjelaskan, Rasulullah membaca Quran dengan jelas, perkataan demi perkataan. (HR. Abu Daud, Tirmizi dan Nasa’i)

8. Tangisan Nabi s.a.w.
Dari Abdullah asy-Shikhkhair berkata: Aku mengunjungi Rasulullah semasa beliau sedang solat. Pada masa itu, terdenganr tangisan beliau yang berbunyi seperti air sedang menggelegak. (HR. Tirmizi, Abu Daud, Nasa’i dan Ibnu Khuzaimah)

Dari Aisyah r.a. berkata: Rasulullah mencium Utsman bin Mazh’un yang sudah meninggal dengan air mata yang berlinangan. (HR. Tirmizi, Abu Daud, dan Ibnu Majah)

9. Gurauan Nabi s.a.w
Abu Hurairah r.a berkata: "Para sahabat bertanya: Wahai rasulullah,adakah kamu bergurau dengan kami?"Rasulullah menjawap, "Aku tidak pernah berkata (sungguhpun dalam gurauan) perkara yang tidak benar" (HR. Tirmizi)

Anas bin Malik berkata: Ada seorang lelaki meminta kepada Rasulullah supaya dibawa menaiki tunggangan. Rasulullah menjawap,"Aku akan beri kamu menunggang anak unta bertina." Lelaki itu berkata,"Wahai rasulullah,apa yang dapat aku lakukan dengan anak unta betina? Jawap rasulullah"Bukankah unta betina yang melahirkan unta yang lain? (Hr. Tirmizi dan Abu Daud)

Anas bin Malik berkata: Rasulullah pernah berkata kepada Anas bin Malik "Wahai pemilik dua telinga" (Hr. Tirmizi dan Abu Daud) *Rasulullah memanggil Anas sebegitu kerana Anas merupakan seorang pendengar yang baik.

PENUTUP
Wahai pembaca yang dikasihi, sesungguhnya contoh-contoh yang disebutkan di atas hanyalah sedikit sahaja dari amalan-amalan murni yang sering dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w Dari sifat dan sikapnya yang murni sehingga pergaulan sehariannya itu telah dapat memberikan gambaran betapa tingginya keperibadiannya yang tiada tolok bandingnya. Maka itu, jika kita ingin mendapatkan kesejahteraan dan kesenangan yang hakiki di dunia dan akhirat, tidak ada insan yang wajar diikuti akhlak dan keperibadaiannya selain daripada Nabi Muhamamd s.a.w. Marilah sama-sama kita mula mencontohi amalan-amalan Nabi muhammad s.a.w. sedikit demi sedikit jika tidak boleh melakukannya semua dalam suatu masa dalam rangka menjalankan kewajipan kita sebagai hamba Allah s.w.t di permukaan bumi ini.

Monday, 8 April 2013


Kisah betapa sayangnya Nabi SAW kepada umatnya.


Rasulullah S.A.W Tiada Bayang-bayang


Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh..
Alhamdulillah washolatu wasalamu ala rasulillah,wa ala ali wa shobihi waman wala.Asyhadu alaa ilaha ilallahu wadahulasyarikalah.Wa asyhadu anna muhammadan abduhu warasuluh..

Kita sering mendengar kisah-kisah mukjizat junjungan kita Rasulullah Saw.. kita juga sering mendengar banyak tentang Rasulullah saw dari serban baginda yang mulia hingga sepatunya (selipar).Tetapi tidak pernah kita dengar orang ceritakan tentang ciri-ciri bayang-bayang baginda.kenapa???

Tahukah anda, Baginda saw tidak memiliki bayang-bayang..!

Bagaimana boleh??

Sebenarnya rasulullah saw memiliki anggota tubuh yang memancarkan cahaya (Nur).Ingat lagi tak kisah suatu ketika di malam yang gelap ‘Aisyah tercari-cari jarum yang jatuh. Lalu Rasulullah SAW masuk ke dalam rumah. Betapa bercahayanya wajah Rasulullah SAW sehingga jarum yang jatuh itu dapat dilihat oleh ‘Aisyah lalu dia dapat mengutipnya. Berkata ‘Aisyah, “betapa bercahayanya wajahmu wahai Rasulullah, siapakah nanti yang tidak akan dapat melihat wajahmu ini di hari akhirat”. Jawab Nabi Muhammad SAW, “orang yang tidak dapat melihat wajahku adalah orang yang sombong terhadapku”. Tanya ‘Aisyah, “siapakah yang sombong terhadapmu ya Rasulallah?”. Jawab Nabi Muhammad SAW, “orang yang mendengar namaku disebut dan dia tidak mengiringinya dengan berselawat kepadaku, itulah orang yang sombong kepadaku”.

Diriwatakan oleh Ibnu Abbas RA:
"Nabi S.A.W tidak mempunyai bayang-bayang. Tidaklah Baginda S.A.W berdiri di bawah sinaran matahari melainkan cahaya baginda S.A.W mengalahkan cahaya matahari. Tidaklah Baginda S.A.W berdiri bersama suatu lampu melainkan cahaya baginda S.A.W mengalahkan cahaya lampu tersebut"
(* al-Zarqani, Syarah Mawahib al-Laduniyyah, Jilid 7, Halaman 200)


Ingatkah juga kisah yang diceritakan ketika Siti Aminah binti wahab lahirkan rasulullah? diceritakan ketika Rasulullah saw lahir satu cahaya yang sangat kuat terpancar dan menuju kelangit seperti anak panah dan menerangi langit. Dalam riwayat terdahulu menyatakan bahawa cahayanya dapa dilihat hingga ke Negeri Syam, yang mengambil masa 15 hari perjalanan dari Mekah. 




Gambar hiasan


Banyak lagi kisah/riwayat yang menceritakan tentang tubuh rasulullah yang bercahaya.. tapi saya kongsikan dua kisah ini sahaja kerana dalam tajuk ni saya nak ceritakan tentang bayang-bayang rasulullah.

Habis tu? apa kaitan tubuh yang bercahaya dengan bayang-bayang???

Apakah cahaya yang memancarkan kepada cahaya.. cahaya tersebut menghasilkan bayang-bayang??? ambil lampu picit suluh kedinding bilik di bawah cahaya lampu bilik anda.apakah cahaya lampu picit tersebut menghasilkan bayang-bayang??begitulah jua halnya berkenaan bayang-bayang rasulullah saw.

Al-Hakim al-Tirmizi meriwayatkan daripada Zakwan: “Sesungguhnya Rasulullah SAW itu tidak mempunyai bayang-bayang sama ada ketika berada di bawah sinar matahari, mahupun bulan.”


Syekih Soleh Ibnu Muhammad al-Azhari R.A menyatakan, matahari dan bulan tidak mempunyai bayang-bayang. Begitu juga Nabi Muhammad S.A.W tidak mempunyai bayang-bayang kerana beberapa perkara. Di antaranya ialah :

1) Sekiranya Baginda S.A.W mempunyai bayang-bayang, dikhuatiri bayang-bayang Baginda S.A.W akan dipijak oleh tapak kaki manusia. Jika bayang-bayang Baginda S.A.W dimuliakan sedemikian rupa, apatah lagi zat Baginda S.A.W yang mulia.

2) Supaya orang Kafir tidak dapat menghina Rasulullah S.A.W dengan memijak bayang-bayang Baginda S.A.W. Justeru, ulama' mengatakan, jika Rasulullah S.A.W mempunyai bayang-bayang, maka sudah tentu haram memijaknya dan sesiapa yang memijaknya dengan sengaja adalah kufur, sepertimana kufurnya orang yang sengaja kencing di tempat-tempat yang pernah diduduki oleh Rasulullah S.A.W

(Syeikh Soleh ibnu Muhammad al-Azhari, al-Muntaqa al-Nafis, Halaman 174)


Agung dan hebatnya Nabi junjungan kita Muhammad SAW...Shollu alan nabi!!
Allahumma sholli ala muhammad wa ala ali muhammad.

Kecantikan Dan Keindahan Fizikal Rasulullah S.A.W




Bismillahir-rahmanir-rahim...

Adalah di luar kemampuan manusia untuk melukiskan gambaran mengenai rupa bentuk Rasulullah SAW, jauh daripada kesanggupan sesiapapun untuk menceritakan insan yang penuh cahaya ini. Walau bagaimanapun para sahabat (r.anhum.) disebabkan jiwa mereka yang bercahaya dan mempunyai kesanggupan, telah cuba menggambarkan rupa bentuknya untuk memberikan sedikit bayangan Baginda SAW kepada kita untuk memuaskan hati kita dengannya.

Sheikh Hafiz Abu Isa Muhammad Ibn Isa Tirmizi

'Allamah Qurtubi (rahmatullah 'alaihi) berkata bahawa keseluruhan kekacakan Rasulullah SAW tidaklah dizahirkan, jika tidak, maka manusia tidak dapat menolehkan sedikit pandangan pun ke arahnya.

Seorang penyair Parsi telah menyatakan dengan benar bahawa segala kekacakan yang dipunyai oleh sekalian nabi dan Rasul telah didapati sempurna sifatnya (terserap sempurna) pada diri Rasul terakhir SAW.

Kecantikan Nabi Yusuf terserlah dengan sepenuhnya berbanding dengan kecantikan Rasulullah SAW di mana ianya tidak diserlahkan oleh Allah SWT dengan sepenuhnya.

Sesungguhnya adalah merupakan sebagai satu tanggungjawab yang besar ke atas ummat yang telah dipikul oleh para sahabat (r.anhum.) yang mana bukan sahaja mereka mencatatkan dan memindahkan Hadis-hadis Rasulullah SAW tetapi juga berusaha menggambarkan rupa bentuk luarnya dan berjaya di dalam usaha ini (ke tahap yang sungguh bernilai sekali).

Al-Barra' bin 'Azib r.a. berkata bahawa beliau tidak pernah melihat sesiapa yang terlebih tampan daripada Rasulullah SAW. Di dalam riwayat yang lain, Saiyidina Ali r.a. berkata bahawa beliau tidak pernah melihat sesiapapun yang terlebih kacak dan segak sama ada sebelumnya atau sesudahnya.

Hind r.a. berkata bahawa wajah Rasulullah SAW menyinar seumpama bulan purnama penuh.

Jabir r.a. meriwayatkan bahawa suatu ketika semasa malam bulan terang benderang,

"Daku sedang melihat kepada wajah Rasulullah SAW dan juga ke arah bulan, tetapi mengikut pandanganku, wajah Rasulullah SAW terlebih cantik daripada bulan."

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW tersangat putih seolah-olah baginda dijadikan daripada perak.

Biodata Muhammad Rasulullah S.A.W

BIODATA RASULULLAH SAW
Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan  20 April 571 Masehi (dikenali sebagai   Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa   Rasulullah SAW).
Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah.  Suaminya bernama Abu Kabsyah).
USIA 5 TAHUN
Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.
USIA 6 TAHUN
Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ' (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah). Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.
USIA 8 TAHUN
Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia. Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.
USIA 9 TAHUN  (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.  · Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.
USIA 20 TAHUN
Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ' Sirah ' , jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.  Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.
USIA 25 TAHUN
Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.  Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.  Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.  Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.
USIA 35 TAHUN
Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah. Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah.  Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.
USIA 40 TAHUN
Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.
USIA 53 TAHUN
Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.   Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.
USIA 63 TAHUN
Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.
ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW
Khadijah Binti Khuwailid.
Saudah Binti Zam'ah.
Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
Hafsah binti ' Umar (anak Saidina ' Umar bin Al-Khattab).
Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
Zainab Binti Jahsy.
Maimunah Binti Harith.
Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin ' ; Ibu Orang Miskin).
ANAK-ANAK RASULULLAH SAW
Qasim
Abdullah
Ibrahim
Zainab
Ruqaiyah
Ummi Kalthum
Fatimah Al-Zahra '
ANAK TIRI RASULULLAH SAW
Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).
SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW
IBU SUSUAN/SAUDARA SUSUAN
Thuwaibah
Hamzah
Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
  
SAUDARA SUSUAN
Halimah Al-Saidiyyah
Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
Abdullah bin Harith bin Abdul ' Uzza
Syaima ' binti Harith bin Abdul ' Uzza
' Aisyah binti Harith bin abdul ' Uzza
  
BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW
(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)
Al-Harith
Muqawwam
Zubair
Hamzah ***
Al-Abbas ***
Abu Talib
Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
Abdul Ka ' bah
Hijl
Dhirar
Umaimah
Al-Bidha (Ummu Hakim)
Atiqah ##
Arwa ##
Umaimah
Barrah
Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***
*** Sempat masuk Islam.
## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.
Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai  aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam  syurga." (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )
Nabi Muhammad SAW - Manusia Agung
KENALI NABI MUHAMMAD S.A.W. SECARA LAHIRIAH.  Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda.
Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:
· Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw
· Aku melihat cahaya dari lidahnya.
· Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
· Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
· Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
· Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
· Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
· Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
· Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
· Wajahnya seperti bulan purnama.
· Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
· Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
· Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
· Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
· Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
· Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
· Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
· Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
· anggutnya penuh dan tebal menawan.
· Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.
· Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
· Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
· Rambutnya sedikit ikal.
· Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapidisisir rapi.
· Rambutnya terbelah di tengah.
· Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
· Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih drpd biasa.
· Seimbang antara kedua bahunya.
· Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik.
· Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
· Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
· Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
· Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
· Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.
· Warna putihnya lebih banyak.
· Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
· Warna kulitnya putih tapi sihat.

0 comments:

Post a Comment