Monday, June 22, 2015

UNHCR minta kerajaan beri pas pekerja kepada pelarian Rohingya

UNHCR minta kerajaan beri pas pekerja kepada pelarian Rohingya - Shahidan

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) telah meminta agar kerajaan Malaysia memberi pas pekerja asing kepada 46,581 pelarian Rohingya yang berada di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perkara itu disarankan UNHCR untuk memberi peluang kepada pelarian mencari pendapatan sendiri.
"UNHCR mencadangkan pemberian pas kerja (asing) kepada pelarian Rohingya memandangkan keadaan Malaysia yang memerlukan pekerja asing sama dengan jumlah pelarian Rohingya yang telah dikeluarkan kad UNHCR," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini Isnin.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada UNHCR bahawa permohonan itu hanya boleh dibuat melalui Kementerian Dalam Negeri.
"Saya sudah maklumkan bahawa kita tidak boleh beri apa-apa lagi kerana Malaysia bukan negara anggota (kepada Konvensyen PBB Mengenai Pelarian) namun atas dasar keprihatinan ada juga beberapa perkara seperti pemberian vaksin kepada pelarian dibuat," katanya.
Sementara itu Shahidan juga meminta UNHCR menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kes pemalsuan kad UNHCR memandangkan terdapat banyak laporan mengenai pemalsuan dan jual beli kad tersebut.
Dalam pada itu beliau berkata berdasarkan statistik yang dikeluarkan Pejabat UNHCR, terdapat 153,004 pemohon suaka dan pelarian yang berdaftar dengan UNHCR sehingga 31 Mei lepas.
Katanya, sebanyak 142,224 pelarian adalah dari Myanmar, terdiri daripada etnik Chin berjumlah 49,340 orang, Rohingya (46,581), Muslim Myanmar (12,298), Arakanese (7,266), Mon (5,378), Kachin (4,476), Karen Kayin (4,508), Burmese (3,329), Shan/Thai Yai (1,510) dan lain-lain (7,538).
Terdapat juga pelarian dan pemohon suaka dari negara lain termasuk Sri Lanka sebanyak 3,817, Pakistan (1,193), Somalia (1,072) dan Syria (938). - BERNAMA
DISYORKAN

0 comments:

Post a Comment