Monday, December 28, 2015

“Jihad Ekonomi”

“Jihad Ekonomi”
Menurut prespektif Islam, perniagaan adalah jihad yang sangat dituntut dan mampu meningkatkan penguasaan ekonomi umat Islam. Ekonomi yang mantap adalah keperluan utama untuk membolehkan umat Islam terus bersaing dalam keadaan dunia hari ini. Tanpanya, kehidupan umat Islam akan terbelenggu dengan kemiskinan dan dosa kekufuran sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Na’im bahawa, “Hampir-hampir kemiskinan membawa seseorang kepada kekufuran”.
Jika beginilah implikasinya, maka sudah pasti hukum jihad ekonomi sama dengan hukum jihad itu sendiri iaitu kefarduan yang ditentukan oleh syarak dan merupakan keperluan yang dituntut oleh akidah. Justeru itu, Sa’id Hawwa telah meletakkan jihad harta sebagai syarat yang penting berbanding jihad lisan, jihad pendidikan, jihad dengan tangan dan jiwa, serta jihad siasah.
Hakikatnya, Islam sebagai agama yang sempurna dan merangkumi segala aspek kehidupan manusia tidak lupa mengajarkan kita supaya merancang kewangan sebagai persediaan dalam mengharungi masa susah.
Menurut pemerhatian, sebagai permulaan, langkah-langkah berikut boleh kita lakukan dalam memenuhi keperluan tersebut.
Pertama:  Menyusun semula dasar kewangan diri. Lakukan muhasabah ke atas perbelanjaan dan gaya hidup kita yang sekarang dan yang diinginkan. Jika ia tidak lagi bersesuaian dan di luar kemampuan kita, maka kita perlu merombak dasar perbelanjaan sedia ada dengan dasar yang lebih efektif. Kurangkan perbelanjaan yang tidak penting dan simpan wang untuk rancangan masa depan.
Kedua: Amalkan budaya menabung. Amalan menabung bertujuan agar kita dapat mengawal perbelanjaan daripada melampaui had dan persediaan bagi hal-hal kecemasan. Soal bergaji besar atau kecil bukanlah ukuran, tetapi komitmen dan disiplin diri itu yang paling penting.
Ketiga: Berjimat cermat dan tidak membazir. Sikap boros atau membazir sering mengakibatkan ekonomi menjadi tidak stabil. Elak atau tinggalkan tabiat-tabiat buruk dan tidak sihat seperti pembaziran air, elektrik, merokok, makan diluar, berhibur yang berlebih-lebihan dan sebagainya. 
Keempat: Elakkan berhutang. Seberapa boleh elakkan diri daripada memulakan hutang yang baru kecuali dalam perkara yang betul-betul memerlukan. Sikap bijak ini dapat mengelakkan kita daripada terperangkap dengan masalah yang lebih serius seperti tekanan perasaan, pergaduhan dan pelakuan jenayah.
Apabila sesuatu pelaksanaan jihad ekonomi yang dilakukan itu disandarkan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya semata-mata, maka sudah pasti setiap perlaksanaan jihad ekonomi dibuat dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan dengan pengajaran yang baik agar ianya tidak memberi gambaran yang disalah ertikan oleh sesetengah pihak.
Dalam menuju kejayaan, sering kali ujian, cabaran dan fitnah akan melanda sehingga mampu menghakis integriti seseorang sekiranya tidak diawasi dengan batas-batas dan etika yang telah ditetapkan oleh syariat. lslam begitu mengambil berat soal integriti dan ketelusan dalam semua urusan, lebih-lebih lagi dalam muamalat kerana kecil atau besar keuntungan yang diperolehi akan tetap dihisab di hadapan Allah Rabbul Jalil.
Sabda Nabi Muhammad SAW:

وكلّ لحم نبت فالنّار أولى به.

Mafhumnya: “Setiap daging yang tumbuh daripada memakan hasil yang haram makanerakalah tempat yang paling layak baginya”. (Riwayat at-Thobrani)

Sebagai umat lslam, janganlah ada yang mengambil mudah dan memandang remeh terhadap amaran yang diberikan oleh Allah SWT. Walaupun keuntungan dunia dikejar, namun keuntungan akhirat tetap tidak diabaikan. Setiap kebaikan yang kita lakukan pasti akan mendapat kasih sayang Allah SWT jua sepertimana firman-Nya dalam Surah An-Nisa ayat 29:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا ﴿٢٩﴾

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”







  

0 comments:

Post a Comment