“Azam Dan Muhasabah Mercu Kejayaan”
Kini kita berada di awal tahun 2016 dengan meninggalkan pelbagai kisah suka duka, pahit manis dalam diari kehidupan kita pada tahun 2015. Ada yang mengganggap peralihan tahun ini merupakan satu peristiwa yang penting dan bermakna dalam sejarah hidup mereka. Justeru, dalam kebanyakkan keadaan, ia meninggalkan kesan yang mendalam kepada diri setiap manusia.
Kesan tersebut ialah sama ada yang mengenai aspek pembangunan nilai positif atau aspek pembersihan unsur negatif dalam diri seseorang. Dalam konteks pembangunan nilai positif, ia akan membawa individu dalam meningkatkan kualiti dan kuantiti bekalan akhirat, manakala pembersihan unsur negatif pula membawa kepada perasaan insaf dan membersihkan diri daripada dosa dan maksiat kepada Allah SWT.
al-Hasyr ayat 18...
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”
Hisablah diri kita dengan melihat masa-masa yang lalu dan sekarang, apakah kita masih berada di landasan yang lurus mematuhi segala perintah Allah SWT atau sebaliknya? Rasulullah SAW pernah mengingatkan,
“Setiap orang yang bangun pada pagi hari, mereka dalam kalangan orang yang keluar mempertaruhkan kebebasan dirinya atau yang mencelakakan dirinya sendiri”. (Hadis riwayat Imam Muslim dan Tirmizi)
Untuk diamalkan bagi memastikan tahun 2016 ini dapat dijayakan berasaskan strategi yang terancang dalam memacu kemajuan..
Pertama: Berusaha dengan kebenaran dan kesabaran.
Kedua: Mempunyai perancangan yang strategik dan idealistik.
Ketiga: Beristiqamah dan tekun dalam berusaha untuk mencapai sesuatu yang dicitakan.
Hayati beberapa perkara berikut sebagai panduan dan pedoman bersama:
Pertama: Penghayatan tahun yang baharu dapat membangunkan nilai positif dan membersihkan unsur negatif dalam diri individu.
Kedua: Amalan muhasabah diri dapat meningkatkan kualiti diri umat dan terhasilnya kesejahteraan hidup dan kemajuan bagi negara.
Ketiga: Azam yang baik memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara iaitu
(i) masa muda sebelum masa tua,
(ii) masa sihat sebelum masa sakit,
(iii) masa kaya sebelum masa miskin,
(iv) masa lapang sebelum masa sibuk, dan
(v) masa hidup sebelum masa mati”.
Selamat Tahun Baru 2016..
0 comments:
Post a Comment